0186 : PANDUAN DAN DOA MENCARI GURU MURSYID

Aboe Khidir
Panduan Dan Doa Mencari Guru Mursyid

Berkata Imam al-Ghazali: “Ilmu tasauf adalah fardu ain kerana tidak sunyi seseorang itu daripada aib atau sakit batinnya melainkan para Nabi”.

Setengah al-Arifin berkata: “Barangsiapa tiada baginya ilmu kaum ini, yakni ilmu tasauf nescaya ditakuti atasnya su’ul khatimah yakni mati di dalam maksiat”.

Kata Syeikh Abu Hasan asy-Syazili: “Barangsiapa tiada masuk lagi mahir di dalam ilmu ini, yakni ilmu tasauf nescaya mati ia padahal ia mengekali atas beberapa dosa yang besar padahal ia tiada mengetahui akan yang demikian itu”.

Kata Syeikh Ibnu Abbad dalam syarah Hikam: “Dan inilah yakni ilmu tasauf inilah segala ilmu yang sayugianya bagi manusia bahawa dikaramkannya di dalamnya akan umurnya yang lanjut pada menuntutnya, dan jangan memadai daripadanya dengan banyak apakan lagi kalau hanya dengan sedikit”

Adapun kadar fardu ain pada ilmu batin itu yakni ilmu tasauf maka iaitu mengetahui barang yang sejahtera dengan dia segala amal yang zahir daripada fasad(rosak), dan sejahtera daripada yang membatalkan pahalanya, seperti bahawa seorang apabila solat ia serta riya’ atau ujub atau sum’ah atau barang sebagainya maka membatalkan ia akan pahala solatnya itu.

Wajib hukumnya mencari al-warits al-Muhammadi(gu­ru yang Mursyid) untuk mempelajari adab dan fadhilat dan mengenali aib2 yang tersembunyi dan penyakit-penyak­it hati.Akan tetapi mungkin ada yang bertanya bagaimana untuk mencari dan mengenal guru yang mursyid.Apakah syarat2 dan sifat2 guru mursyid?

Ketika seseorang tholib/murid berhajat kepada mursyid seperti perasaan seorang pesakit berhajat kepada doktor, maka ia perlu menguatkan azamnya dan membetulkan niat dan bertawajjuh kepada Allah Taala dengan hati yang tadharru’.Lalu menyeruNya di tengah malam dan berdoa dalam sujudnya dan selepas solat dengan doa begini:

اللهم دلني على من يدلني عليك واوصلني الى من يوصلني اليك.

Maksud: “Ya Allah, tunjukilah daku kepada orang yang akan menunjukkan daku kepadaMu dan sampaikanlah aku kepada orang yang menyampaikan daku kepadaMu”.

Setelah itu dia mesti mencari Mursyid di negerinya dan jangan terpedaya dengan dakwaan sesetengah orang bahawa guru Mursyid Murabbi sudah tiada di zaman ini.Sekiranya tidak ditemui Mursyid di bandarnya maka dia mesti mencari di bandar2 yang lain.Bukankah kita lihat seorang penderita penyakit zahir sanggup bermusafir ke Negara yang jauh untuk berubat mencari doctor pakar.Maka mengubati hati dan ruh lebih memerlukan kepada doktor2 yang lebih mahir daripada doktor2 jisim.

Bagi mursyid perlu ada 4 syarat untuk memandu manusia:
1) Mestilah alim dengan hukum-hukum fardhu ain.
2) Mestilah seorang yang Arif BILLAH.
3) Mahir dengan cara-cara tazkiah nafsu dan wasilah tarbiah.
4) Diizinkan untuk membimbing dan mengijazah orang lain daripada syeikhnya

Link Dokumen : PANDUAN DAN DOA MENCARI GURU MURSYID
Link Diskusi : PANDUAN DAN DOA MENCARI GURU MURSYID

Belum ada Komentar untuk "0186 : PANDUAN DAN DOA MENCARI GURU MURSYID"

Posting Komentar

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel